Followers

Tuesday, July 1, 2014

I'm Okay

Yus melabuhkan punggungnya ke kerusi kosong pertama yang dia jumpa didalam gerabak tren LRT itu. Tidaklah terlalu sukar mencari kerusi kosong, dah orang pun tak berapa ramai menaiki LRT pada waktu-waktu begini.

Yus melihat jam di screensaver smartphone-nya. Dah pukul 11 pagi. Agh, dia lambat kekerja lagi hari ni. Pasti bosnya akan marah lagi. Nak hantar mesej ke whatsapp group ofisnya untuk mintak tolong rakan-rakan sekerja cover line pun tak boleh. “Siapa suruh tak bayar bil awal-awal haa?” Yus tanya pada diri sendiri.

Yus menyandar kekerusi itu sekali lagi. Dia memejam mata, cuba mengingati apa yang terjadi semalam. “Bodoh punya Hafiz, ajak aku keluar sampai ke pagi, padahal aku dah cakap dah aku ada kerja harini. Tapi tak, dia nak jugak aku pergi teman dia pergi kedai mamak, nak tengok bola konon. Padahal nak suruh teman jumpak awek baru. Tak pasal-pasal aku kena jadi third-wheel. Nasib baik game best. Jerman menang! Weehoo!” Yus tersenyum sendiri.

Akan tetapi, oleh kerana stay up sampai ke pukul empat pagi, dia terpaksalah menerima akibatnya sekarang, bangun lambat, mata masih lagi mengantuk nak mampos. Yus menutup kuapannya yang seluas fana itu dengan tangannya lalu mengesat air yang terkumpul didalam matanya.

Matanya memeriksa jadual perhentian LRT buat kesekian kalinya sepanjang dia mengambil LRT ke tempat kerjanya. “Masih lagi terdapat 5 perhentian nampaknya. Bolehla aku nak pejam mata kejap.” Yus berfikir lalu memejam matanya buat seketika.

Baru beberapa ketika dia menutup mata, Yus dikejutkan kembali dengan bunyi batukan yang sangat teruk daripada sebelah kirinya. Dengan batukan sebegitu rupa, Yus tak terkejut jika manusia itu sedang batuk berdarah. Dia memalingkan kepalanya kearah batukan yang masih berbunyi itu.

Tampak di tengah gerabak betul-betul didepan pintu masuknya, seorang lelaki hampir bersujud. Dia meletakkan sebelah lututnya serta kedua belah tapak tangannya diatas lantai. Dia kelihatan seperti didalam lingkungan umur dua-puluhan, lebih kurang umur Yus, rambutnya keriting dan tebal, panjang hingga melewati bahunya, kepala tunduk kebawah. Dia memakai t-shirt berwarna putih, jeans acid wash yang koyak rabak di bahagian paha dan lutut serta memakai kasut Converse lusuh.

Yus memandang kekiri dan kekanannya. Semua orang yang bersamanya didalam gerabak itu buat tak endah sahaja kepada lelaki yang batuk dengan teruk itu. Ada yang buat-buat tidur. Betapa tak prihatinnya masyarakat kita ini, singkap Yus. Lantas dia bangun dan pergi kesisi lelaki yang sedang batuk itu.

Sesampainya Yus kesebelah orang sedang batuk itu, dia berhenti batuk. Eh? Kenapa plak ni? Dah baik dah ke? Terfikir Yus sejenak. “Bro, kau okay tak ni bro?” Tanya Yus kepada lelaki tersebut.

“I’m okay.” Kata lelaki tersebut, dengan suara yang dalam sambil menunjukkan tanda thumbs-up dengan tangan kanannya. Wah, bass-nya suara dia ni, Yus mengomen didalam hatinya.

“Betul ni kau okay bro? Takde ubat ke nak makan bro?” Yus sekali lagi bertanya, menunjukkan betapa prihatinnya dirinya agar dapat dicontohi penaik LRT yang lain.

“I’m okay.” Kata lelaki berambut tebal itu, kali ini dengan suara yang terlalu dalam, yang tak mungkin terhasil daripada kerongkong manusia biasa. Lelaki itu mendongakkan kepalanya dan menunjukkan mukanya yang senyum dari telinga ke telinga. “I’M OKAY!” sekali lagi dia berkata, kali ini dengan volume-nya ditingkatkan dua kali ganda. 

Yus menjerit sambil menutup telinganya. Namun apabila tangannya menjengah telinganya, dapat dia rasakan sesuatu yang likat. Dia melihat apa yang ada ditangannya, dan terdapat darah. Ternyata telinganya sedang berdarah sekarang.

Lelaki berbaju putih itu memusingkan badannya kearah Yus, menunjukkan logo “I’m okay” berwarna merah ditengah-tengah bajunya. Yus melihat sekali lagi ke muka lelaki itu apabila dia membuka mulutnya dengan luas. Betapa terkejutnya Yus apabila daripada mulut lelaki berambut kusut itu keluar sedikit demi sedikit sebelah tangan daripada hujung jemari hingga ke bahu. Tangan yang ketiga lelaki itu juga melakukan tanda thumbs-up. “I”M OKAAYYY!!” terlalu kuat bunyi yang dihasilkan sehingga pecah cermin tingkap gerabak LRT itu.

Yus memejam matanya sekali lagi dan membukanya semula untuk menjerit ketakutan. Namun sebelum dia dapat menjerit, dapat dia lihat gerabak LRT yang dinaikinya tidak terjadi apa-apa. Cermin tingkapnya masih lagi sempurna, dan dia masih lagi dalam keadaan duduk di tempat asalnya. Dia cepat-cepat memeriksa telinganya. Lega, tiada darah atau apa-apa benda lain disitu.

Dia memandang kekiri dan kekanannya, memeriksa kedua-dua hujung gerabak. Tiada lelaki berambut keriting itu. Yus menghela nafas lega dan bersandar sekali lagi.


Sebaik sahaja Yus bersandar, sekali lagi dapat dia dengari bunyi batuk yang amat teruk sekali. Dia melihat siapakah gerangan yang batuk itu. Seorang tua yang mempunyai tongkat. Yus memejam matanya kembali dan buat-buat tidur. Dia berbuat begitu hingga dia mendengar pengumuman memaklumkan yang telah tiba stopnya, lantas turun daripada LRT itu cepat-cepat untuk ketempat kerjanya.

1 comment:

Anonymous said...

Bestnyer kalau ada suara bass!